Monday, September 10, 2012

Permohonan maaf dari kami

Tidak dapat dinafikan, setiap cerita atau kejadian yang berlaku mesti ada kekurangan yang menjadi penanda aras bahawa tiada siapa dapat menandingi ketentuan Allah Yang Maha Sempurna.

Ada ulama mengenal Allah melalui gagalnya cita-cita mereka dan itu menandakan mereka lemah dan tidak mempunyai kekuatan yang dapat menandingi Kudrat Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Maha Perkasa dan Maha Keras SeksaanNya.

Ceritanya begini:

Aku baru mendapat tahu yang ketika jenazah Ahmad Asraf tiba di Kompleks Yayasan Sofa, Bukit Sembilan, Kota, rakan-rakannya yang setia mengiringi dan menunggu dari awal hingga akhir urusan pengkebumian Ayap menderu mendapatkan van jenazah untuk mengusung keranda untuk dibawa masuk ke dalam dewan utama.

Dalam keranda yang tertulis kalimah suci dan doa untuk di mati itu terdapat jasad Ayap terbujur kaku.

Dalam keghairahan mereka untuk melakukan sedemikian, mereka tiba-tiba berundur dan terasa hati apabila terdapat arahan daripada pihak tertentu yang melarang mereka mengangkat keranda itu kerana pelajar tahfiz akan melakukan tugas itu.

Dari maklumat yang aku dapat, muka rakan-rakan Ayap serta-merta berubah. Dari riak wajah, dapat disimpulkan yang mereka terasa hati dan menyangka mereka dihina secara halus mungkin sebab pakaian, kelakuan dan sebagainya.

Penjelasan aku (harap kalian terima):

Perbuatan pihak tertentu yang menghalang kali dari mengangkat keranda itu dilihat sebagai tindakan refleks yang tidak disengajakan. Perancangan untuk membawa jenazah ke situ telah dibuat sejak malam kejadian dan sudah menjadi tradisi pelajar tahfiz yang akan mengusung mana-mana jenazah yang ingin disemadikan di situ. Bukan sebab orang lain hina dan tidak timbul isu itu.

Apapun, kalian tetap rakan yang bagus sebab sanggup mengambil cuti (atau setengah hari) semata-mata ingin memberikan penghormatan terakhir buat Muhammad Asraf.
KAMI sekeluarga memohon maaf sekiranya ada rakan-rakan yang terasa ketika hadir pada majlis pengkebumian Ayap. Sekiranya arwah mempunyai hutang dan perbuatan yang ingin dituntut, silalah tampil. Pintu rumah kami sentiasa terbuka.


Kami dari pihak keluarga Arwah memohon maaf di atas kejadian itu dan jika dapat diulang tayang, sudah pasti kami mengizinkan kalian berbuat demikian kerana kami tahu, kalian sangat ikhlas. Kalau tidak, mana mungkin kalian sanggup menunggu dari saat jasad Ayap diletakkan di bilik mayat hingga ke liang lahad? (Fuh, ada la nak dekat 20 jam) Subhanallah. Terbaek la korang. Kelebihan Ayap semestinya!

Maklumat itu diperolehi daripada salah seorang ahli keluarga kami yang mendengar dan melihat sendiri kejadian itu kerana ketika insiden berlaku, dia berada di dalam van jenazah tersebut.

Di kesempatan ini juga, aku ingin menyatakan kepada sesiapa yang terasa Arwah mempunyai hutang atau kesalahan yang perlu ditebus, supaya tampil ke rumah kami (korang sudah tahu kan di mana) untuk menuntutnya.

Jiwa seseorang mukmin itu tergantung di antara langit dan bumi jika padanya terdapat hutang yang masih belum dijelaskan sama ada secara bayaran atau dihalalkan oleh si pemiutang.

Yang jelas, kehadiran sahabat-handai Ayap yang dari mana entah kami pun tak tahu telah membuktikan yang arwah seorang yang berjiwa besar dan sentiasa menghubungkan silaturrahim sesama insan. Pujian ini bukan kerana arwah adik ipar aku tetapi atas apa yang aku lihat dan saksikan selaku ahli keluarga Mohamad Nor Mahmud dan Bibah Said sejak 2005.

Orang yang menghubungkan silaturrahim memang besar pahalanya kerana dia membuatkan ummat bersatu dan itu sangat dicemburui oleh Yahudi serta Nasrani dan menghindarkan permusuhan yang sememangnya diimpikan oleh Syaitan Laknattullah.

Maas salamah wa ilal liqa'

No comments:

Post a Comment