Friday, September 7, 2012

'Pengaruh kami bosar'

 Kemuliaan seseorang itu akan diketahui apabila dia mati kelak. Jika ramai yang menziarahi jenazahnya, maka dia mulia. Begitulah sebaliknya.
 Begitu jugalah adik ipar aku, Ahmad Asraf Mohamad Nor, 20, yang meninggal dunia akibat kemalangan motosikal antara Maghrib dan Isya' pada tanggal 3 September 2012 lalu di Jalan Pulau Mampat, Rembau.
WAJAH Ayap dengan seragam sekolah.

pengakhiran hidupnya sangatlah baik (khusnul khatimah).
 Bermula apabila jenazah Ayap dibawa ke Hospital Tampin, rakan-rakannya yang entah mana hala muncul seorang demi seorang, kumpulan demi kumpulan sampaikan kami sekeluarga tidak kenal mereka. Pelik. Tak sangka arwah mempunyai kawan seramai itu. (Secara rambang, mereka yang berkumpul di hospital malam tu mencecah ratusan orang)...itu belum campur penduduk kampung.
 Turut berada di hospital termasuk Bang Ngah Ainol, anak, isteri dan rakan setugas, Farabi bersama jurufoto Kosmo! Razak Aid. (Terima kasih saudaraku). Salbiah, Kak Siti, Nisah, Asrul, Harith, Habib juga ada di situ.
 Sebaik aku tiba dengan membawa emak, isteri dan Induk Aton, kelihatan Ustaz Hasan, Azwan (abang ipar arwah) bergegas untuk memanggil pengawal bilik mayat untuk membuka pintu bagi membolehkan kami, Abang Pozi, Kak Nim, Bang Ngah, Kak Ngah dan beberapa lagi ahli keluarga yang masih belum melihat keadaan arwah dapat berbuat demikian.
 Hati berdebar sebaik lelaki berbaju T merah dan berseluar panjang warna krim itu menguak pintu papan bilik mayat. Sebaik melangkah, dia terus membuka peti yang menempatkan jenazah arwah sebelum plastik hitam yang sering digunakan polis untuk membungkus mayat dibuka di bahagian kepala.
 Walaupun aku biasa melihat keadaan itu, (kerana kerjaya aku sebagai wartawan jenayah) tetapi debaran pada malam begitu berlainan sekali kerana ia melibatkan ahli keluarga yang aku kenal dan agak mesra juga dengannya.
 Aku biarkan mereka melangkah dahulu dan selang beberapa saat kemudian, perkara yang aku jangka berlaku jua. Raungan, tangisan pilu, ratapan yang bagaikan tidak percaya sekujur tubuh Ayap berada di dalam peti itu menyelubungi bilik mayat.
 Kakiku melangkah longlai ke arah mereka, sebaik sampai, aku mengerti mengapa mereka berteriak kerana wajah mangsa kemalangan ngeri selalunya akan lain dari yang asalnya. Ya Allah peliharalah kami!

KERATAN akhbar Harian Metro yang melaporkan mengenai kemalangan melibatkan arwah Ayap pada 3 September 2012.

 Tanpa membuang masa, kami terus membaca Yasin sebelum Ustaz Hasan mengetuai kami bertahlil di bilik mayat. Diulangi, bertahlil di bilik mayat. Belum pernah dibuat orang. Sepanjang karier aku yang pergi membuat liputan di bilik-bilik mayat hospital di Lembah Klang selama lima tahun, belum pernah orang membuat tahlil di bilik mayat. Baca Yasin ada. Kemuliaan awal buat arwah.Tapi mungkin ada juga cuma aku yang tak terserempak.
 Selesai bertahlil, kami berangkat pulang dan tidak habis di situ, kami seramai 14 orang (6 anak perempuan bersama suami masing-masing, seorang anak dara, dan seorang anak buah) sedaya upaya mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran di rumah, Kampung Pulau Besar, Rembau. Pembacaan bermula sekitar pukul 2 pagi.
 Alhamdulillah,dengan izin Allah, kami dapat mengkhatamkan seluruh al-Quran sebelum subuh. Majlis pengkhatamannya dilakukan beberapa minit menjelang azan sebelum kami solat secara berjemaah dan terus bersiap untuk ke hospital bagi urusan bedah siasat. (kemuliaan kedua).
 Aku pergi lambat sedikit dari orang lain kerana anak bongsu kami, Muhammad Munawwir perlu diuruskan terlebih dahulu. Akhirnya, kami membawanya bersama ke hospital. Dia pula tidak banyak kerenah sepanjang empat jam berada di sana. Baiknya anak Abi! Sofiyyah dan Muhammad Alawi ditinggalkan di rumah kerana mereka masih belum bangun.
 Selepas puas menunggu, akhirnya bedah siasat dilakukan sekitar pukul 9 pagi selepas YB Saiful dan Bang Ngah Ainol campur tangan untuk mempercepatkan urusan.
 Sebelum itu, pengawai penyiasat, SI Othman dari IPD Rembau tiba tepat pukul 8 pagi untuk menyerahkan borang bedah siasat dan kesempatan itu aku gunakan untuk menanyakan mengenai punca sebenar kejadian.
  Sebaliknya, dia pula bertanya kepada aku apa yang kami dengar. Selepas mendengar, dia mengiyakan punca kemalangan itu walaupun polis masih belum tahu punca sebenarnya kerana tiada saksi di tempat kejadian.
MUNGKIN ini teman wanita Ayap. Apa pun, harap adik bersabar ye. Pertemuan di alam akhirat lebih manis dan kekal.

 Dia kemudian memaklumkan kedua-dua motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu tidak dilindungi insurans dan tuntutan sivil tidak dapat dilakukan. Ah, sayang! Kes tetap ada tetapi terpaksa mati di situ kerana tiada pihak yang boleh membuat tuntutan.
 SI Othman kemudian meminta diri kerana mempunyai kes mahkamah dan memaklumkan yang Sarjan Aziz akan tiba untuk menguruskan hal bedah siasat.
 Dipendekkan cerita, bedah siasat, mandi jenazah dan kafan selesai kira-kira pukul 11 pagi dan nak dijadikan cerita, khidmat van jenazah yang digunakan tidak meminta sebarang bayaran atas alasan sedekah mereka kepada Ayap (kemuliaan ketiga).
 Sebaik van jenazah bergerak meninggalkan rumah mayat Hospital Tampin, rakan-rakan Ayap yang setia menanti mengekori kenderaan itu beramai-ramai hingga ke rumah. Tiba di rumah, kami terkejut kerana laman dipenuhi orang ramai dari yang muda hingga yang tua. Entah sapa-sapa entah dan dari mana datangnya mereka itu langsung tidak diketahui. Melaut orang yang datang untuk memberikan perhormatan terakhir kepada Arwah (kemuliaan lagi).
 Inilah yang pernah dikatakan oleh arwah kepada rakan-rakannya ketika pihak sebelah yang bermain bolasepak padang mempersoalkan mengapa pemain di belah Ayap lebih ramai dari mereka (tidak ingat bila dikatakan sama ada beberapa hari atau sehari sebelum kejadian). "Pengaruh Kami Bosar!" Kata Ayap berseloroh. Rupanya kata-katanya itu memang betul terjadi! (kemuliaan yang entah ke berapa entah).
 Rakan-rakannya kemudian berpusu-pusu naik ke atas rumah untuk melihat wajah arwah buat kali terakhir sehingga terpaksa menggunakan kaedah terus turun selepas tengok kerana lantai rumah diperbuat daripada papan dan ruang yang agak terhad. Orang di luar kemudian menceritakan, mereka nampak bagaimana lantai itu sudah melendut dan hampir-hampir roboh. Nasib tak runtuh!
 Selepas selesai, Ustaz Hasan mengimamkan solat jenazah sebelum selesai lima minit kemudian. Jenazah kemudian diusung keluar untuk dibawa pula ke Kompleks Yayasan Sofa di Bukit Sembilan, Kota (kira-kira 10 kilometer perjalanan) untuk disembahyangkan sekali lagi dan dikebumikan.
 Sebaik tiba, seramai lebih 100 pelajar tahfiz telah selesai mengkhatamkan entah berapa kali al-Quran (kemuliaan Ayap lagi) dan Ayahanda yang kami sayangi, Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki kemudian mengimamkan solat jenazah buat kali kedua. Panjang jugak doa Sheikh untuk arwah ketika membacakan di akhir upacara.
 Van jenazah yang seti menunggu di luar madrasah kemudian bergerak ke tanah perkuburan (500 meter) sambil diiringi ahli keluarga dan sahabat handai. Bukit yang menempatkan kuburan dipenuhi orang dan aku dapat andaikan ia seakan orang berwukuf di Arafah pada musim Haji. (Kemuliaan kau lagi Yap).
PELAJAR tahfiz mengambil tempat untuk membaca al-Quran sebaik talkin selesai dilakukan. Kelihatan ahli keluarga sedang siap berkemas untuk turun pulang ke rumah. Kubur yang sebelah Khadijah (jubah hitam) merupakan kubur arwah abang Ayap, Bang Ali Imran. Dia meninggal dunia akibat serangan jantung ketika memandu kereta sekitar lima tahun lalu.

PELAJAR tahfiz Sekolah Tinggi Islam As-Sofa mula membaca Quran sebaik urusan tahlil selesai kira-kira pukul 1.40 petang.

Berjumpa lagi di entri lain. Maas Salamah wa Ilalliqa' (cerita di sebalik mimpi ayahanda janggut perang, Bang Napi gengster beriman).











1 comment: