Sunday, April 12, 2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...

Rasanya sudah lama aku tidak update blog ini kerana kekangan masa dan kesibukan bekerja. 

Bulan lepas aku baru kehilangan nenek yang pada saya amat istimewa. Dia meninggal akibat sakit tua ketika mendapatkan rawatan di Hospital Besar Melaka.

7 tahun lamanya dia terlantar di atas katil selepas tidak dapat berjalan akibat tulang paha patah selepas terjatuh di rumah.



Arwah makwe tujuh hari sebelum meninggal dimasukkan ke wad Hospital Melaka selepas emak mendapati dia semput. Ketika ini dia masih mengenali orang tetapi tidak lagi bercakap.

Sepanjang tempoh itu, emak lah yang menjaganya dari mandi, makan, buang air dan membawa untuk cek up di klinik kesihatan.

Secara peribadi, aku kagum dengan ketabahan emak menjaga ibunya. Bukan semua anak boleh menyempurnakan amanah dan liku-liku hidup yang telah ditulis sejak Azali lagi.

Menjaga orang tua yang perangainya sudah kembali seperti bayi amatlah mencabar. Silap hari bulan, bukan pahala yang dapat tetapi kena pulak menanggung dosa yang amat besar kerana berlaku kurang ajar dengan orang tua.

Kesabaran boleh diuji pada bila-bila masa. Tapi kami bernasib baik kerana nenek yang aku gelarkan sebagai makwe tidak banyak perangai.

Arwah ketika hidupnya menjaga kami empat beradik. Maklumlah, kami tinggal di kampung bersama emak dan arwah ayah. Arwah suka membebel pada perkara yang tidak kena pada pandangan matanya.

Dia juga suka mengejar aku sambil memegang rotan kalau aku masih degil dengan arahannya atau melanggar amarannya. Sambil kejar, sambil menjerit perkataan 'puaka kau'...hehe..maklumlah orang Melaka. Cara cakap kasar tetapi hatinya baik. I'll gonna miss her. 

Pernah satu ketika aku menconteng di dinding rumah 'Akulah anak puaka...semua dalam rumah ini tidak sukakan aku...' Itu semula berlaku kerana dia sering memarahi aku. Maklumlah budak memang nakal. Lebih2 lagi tinggal di kampung. Habis kampung aku rayau. Masuk hutan, memancing di lubuk, mandi laut, mandi sungai dan macam2 lagi.

Ah, kenangan lama mengusik kembali. Yang lepas usah lagi dikenang. Apa yang penting sekarang hidup perlu diteruskan sehingga aku pula mengikut jejak arwah makwe. Mati itu pasti, hidup itu insyaallah...

Ahli keluarga sedang mencium arwah sebelum dibawa ke tanah perkuburan iaitu tempat persemadian terakhir di Kampung Tanah Merah Jaya, Melaka.

 
 
Selesai talkin dan kebumikan mayat.


Kawasan rumah emak memang best. Ada sebatang pokok mangga memang berbuah sepanjang masa. Langsung xde ulat atau buah tu busuk. 

Jadi, masa nenek meninggal, pokok tu memang tengah lebat berbuah. Ingatkan nak amek bawak balik nak buat jeruk asam boi, tapi mak mertua aku mengingatkan x boleh bawak balik benda masam kalau pergi rumah orang meninggal.

Ni baru sikit. Ada banyak lagi kt dahan lain


Jadi, aku tanya kalau kita dah balik rumah sekejap dan datang balik untuk amek mangga tu boleh ke tak? Mak mertua aku cakap kalau macam tu boleh. 

So, sebab nak kait punya pasal, aku sanggup balik Rembau tiga hari lepas makwe meninggal dan balik Melaka balik.  Memang aku sekarang berniaga kecil-kecilan jeruk mangga asam boi dan rendang ikan bilis campur pucuk cemperai @ pegaga @ pucuk ubi.

Bolehlah tampung sikit2 perbelanjaan. Nak kata jadi kaya tak jugak. Tapi niat aku buat bisnes ni sebab nak tolong ahli keluarga yang lain. Dapat juga diorang buat belanja sementara nak menunggu hari gaji. Amek untung ala kadar aje.

Kalau nak buat rendang tu, modal dia besar la jugak. Untuk sekilo rendang, memerlukan sekilo ikan bilis yang siap kopek (RM40), santan asli (lima kilo setengah, sekilo santan RM8), bawang kecik, asam keping, cili kering. Sebekas RM10 dan sekilo leh la dapat dalam 20 bekas.

Ikan bilis ni rangup sama dengan pucuk yang dimasak tu. Kalau nak cuba, leh hubungi nombor yang ada tu. COD pun boleh (bagi yang dekat la di area Ampang dan pos laju bagi yang jauh).

JERUK hasil air tangan isteri aku ni memang digemari ramai. Kalau bawak g opis tu kompom habis.  





NI DIA RENDANG IKAN BILIS. Boleh makan dengan nasi panas, roti, bubur, mi sup, mihun sup, roti canai, makan macam tu aje dan lain-lain. Rendang ni dah sampai obersi.

Maas Salamah Wa Ilal Liqa'....maaf, post kali ni promote bisnes sikit. Kami mendoakan orang yang menyokong bisnie kami agar dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan tubuh badan.

 

Sunday, August 3, 2014

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri bagi aku sudah habis sebaik muazzin mengumandangkan azan Maghrib 1 Syawal lalu. Selepas itu, pengikut Mazhab Syafie akan mula berpuasa 6 manakala pengikut mazhab Maliki pula tidak melakukannya kerana Imam Malik r.a tidak bertemu dengan hadis tersebut.

Sepanjang hayatnya, Imam Malik r.a dikhabarkan tidak pernah keluar dari tanah haram Madinah dan hanya menimba ilmu daripada ulama di situ. Mungkin oleh sebab itu beliau tidak bertemu dengan hadis yang diperoleh oleh Imam Syafie r.a.

'ala kulli hal, masing-masing ada pendapat dan hujah dan siapalah kita hendak mempersoalkannya. Ikut aja sudah. Lainlah kalau mujtahid.

Khutbah hari raya tempoh hari benar-benar mengusik jiwaku. Mungkin sudah lama tidak kedengaran khutbah bersemangat seperti itu. Duduk lama. Pinggang tak sakit. kaki tak kebas-kebas (nasib baik karpet baharu dan tebal). Walaupun khutbah itu memakan masa selama sejam lebih (tiada aircond tapi nyaman).

Murabbi kami, Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Muhammadi sememangnya dikurniakan Allah ilmu seorang Daie. Ilmunya memang tidak dapat disanggah. Gaya bahasa yang digunakan hebat. Gerak badan, karisma, kepimpinan dan tutur katanya membuatkan sesiapa sahaja pasti terpukau untuk mendengar limpahan makrifat yang diturunkan Allah menerusi lidah beliau.

KEHADIRAN Sheikh Muhammad Fuad di dalam arena dakwah telah menggegarkan dunia Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di luar negara.

Sesiapa yang berguru dengannya, pasti ceramah agama lain sudah tidak enak untuk didengari. Ini hakikat yang perlu dipersetujui oleh sesiapa sahaja baik kawan atau lawan.



SHEIKH MUHAMMAD FUAD ketika menyampaikan khutbah Aidilfitri di Masjid Nerasau, Chengkau, Negeri Sembilan. Perhatikan mimbar yang diukir cantik oleh tukang Jawa sekitar hujung 1800.
Tanpa teks khutbah di tangan, beliau terus sahaja memuji Allah dengan pujian yang selayaknya. 

Intipati khutbah sudah tentunya kepincangan akidah umat Islam terutamanya di Malaysia pada hari ini menjadi pilihan beliau.

Allah menguji kita pada hari ini (merujuk kepada insiden MH370 dan MH17) kerana akidah kita yang tidak lagi menjadikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya sebagai ikutan yang tulus dalam memeluk agama Allah.

Puas kita berdoa siang malam, imam Masjidil Haram berdoa betul-betul depan Kaabah namun, pertolongan Allah tidak juga kunjung tiba sepertimana diharapkan. 

Adakah kita tidak perasan situasi ini atau buat-buat tidak perasan? Jika dahulu, pejuang Islam, Salahuddin al-Ayubi boleh merampas semula Palentin yang berada dalam genggaman kufar selama beratus tahun namun kini pejuang seperti beliau langsung tidak kelihatan.

Nama Salahuddin cukup digeruni seolah-olah menjadi pelemah semangat dan perasaan gerun segera dicampakkan Allah ke dalam hati-hati orang kafir untuk berperang dengan angkatan tentera beliau.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat segelintir pihak yang lantang menghentam dan mengutuk Israel di Malaysia sebenarnya tidak berbuat demikian dengan hati yang ikhlas dan hanya mahukan glamor semata-mata.

Mulut cakap ganyang Israel tetapi dalam masa sama menyokong anti-hadis, menyokong penggunaan kalimah Allah di dalam bible dan mempertahankan gereja.

Ibarat najis membersihkan najis. Tahi hendak dibersihkan dengan air kencing. Begitulah perumpamaannya.

Tiada lagi kebaikan di dalam sesebuah negeri/a itu apabila Nabi mereka dihina dan dicaci. Lebih parah apabila tiada seorang pun yang bangun untuk membelanya dengan sesahih-sahih pembelaan. 

Tidak melibatkan glamor atau tertambat hatinya kepada kesenangan dunia ketika mendakwa mempertahankan Rasulullah SAW.

Ketika pemerintahannya, Salahuddin al-Ayubi mengarahkan semua negeri/a Islam mengumandangkan syair mengandungi akidah ASWJ sebelum azan dilaungkan. Keadaan ini berlanjutan hampir 300 tahun lamanya (kalau tak silap).

Akidah yang betul dan lurus merupakan penyebab doa kita diterima oleh Allah. 

Bagaimana kita mahu Allah mengkabulkan doa tetapi dalam masa sama kita menyekutukan Dia tanpa kita sedari dengan berpegang kepada akidah songsang yang diuar-uarkan oleh Wahabi, Syiah Rafidah dan yang seangkatan dengannya?

 Tak sah kalau air mata bagi orang-orang yang hidup hatinya pagi itu tak mengalir. Khutbah yang mengajak kita menyesali keterlanjuran perbuatan dengan melakukan maksiat dan dosa terhadap Allah membuatkan hati begitu sayu.

Memang benar kata ulama...bermula taubat itu dengan menyesal. Usai khutbah, masing-masing berebut-rebut hendak bersalaman dengan Sheikh. Aku tak terkecuali. Nikmat rasanya dapat memegang serta mengucup tangan ulama.

Hanya jauhari mengenal manikam. 

MENERIMA pengiktirafan daripada ulama Morocco mengenai tugasan dakwahnya.MB N9 pun menyaksikan pengiktirafan tersebut.


Mohon Allah matikan aku dan saudara dalam keimanan. 

Moga kita dikumpulkan di bawah satu bendera dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak. Amin

Maas salamah wa ilal liqa'

Wednesday, October 30, 2013

Indahnya jika semua pemimpin mengamalkan manhaj tarikat ni....




Gambaran pelukis mengenai Sayyid Muhammad ibn Ali as-Sanusi bersama-sama Ikhwan Sanusi meletakkan batu asas bagi pembinaan Zawiyah Sanusiyyah
Menghadiri Seminar Pemerkasaan Dakwah Kebangsaan Al-Sanusiah Di Persada Dakwah anjuran Kumpulan Pendidikan As-Sofa di Pusat Konvensyen TM di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur 22 September lalu ternyata mengujakan.

Walaupun hanya mengambil masa selama enam jam bermula pukul 10 pagi, seminar itu berjaya membongkar satu rahsia besar yang cuba disembunyikan oleh pihak tertentu terutamanya Barat dalam usaha untuk menjauhkan umat Islam dari sumber kekuatan hakiki iaitu al-Quran dan sunah Nabi Muhammad S.A.W.

Jaguh-jaguh Islam yang semakin dilupakan jasa dan bakti mereka dalam agama menjadi topik utama seminar tersebut. Walaupun hidup dalam zaman yang berbeza namun, mereka bersandarkan pada satu jalan baik dari segi amalan dan kehidupan iaitu mengikuti manhaj yang diterapkan dalam tarikat Al-Muhammadi Al-Sanusi Al-Idrisi.

Diasaskan oleh kutub pada zamannya, Al-Ustaz Al- A'zam, Al-Imam Ahmad Ibn Idris dan dikembangkan oleh anak murid beliau, Al-Imam Akhbar, Sayyid Muhammad Ibn Ali Al-Sanusi Al-Hasani selepas 1240 Hijriah (1825 M), tarikat tersebut berjaya mencetak kader-kader Islam dalam usaha untuk menjaga kesucian agama dari dirobek golongan kufar.

Seminar itu membuka tirainya dengan ucaptama Pengerusi Akidah Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Kumpulan Pendidikan Sofa, Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Muhammadi.

"Keluarga Sanusi merupakan orang yang bertanggungjawab memperkasakan Islam hingga digeruni dan dihormati kawan dan lawan. Manhaj yang terdapat di dalam tarikat al-Muhammadi ini berjaya menobatkan Islam di mata dunia.

"Saya gesa mana-mana pihak supaya menggunakan method yang telah digariskan ulama silam untuk diamalkan jika ingin mencapai kejayaan mutlak. Tiada ulama di seluruh dunia yang pernah mempertikaikan kehebatan dan kebenaran yang dibawa tarikat ini kerana ia mengikut manhaj yang dipusakai daripada Rasulullah S.A.W," katanya.





Ikhwan Sanusi ketika menentang penjajahan Itali pada 1912


Sheikh Muhammad Fuad al-Muhammadi

Tambahnya, ia dinamakan dengan al-Muhammadi As-Sanusi Al-Idrisi kerana sumbernya terus daripada Rasulullah dan digelar Sanusi ekoran Sayyid Muhammad merupakan figura yang bertanggungjawab menyebar luaskannya hingga ia dikenali hingga ke hari ini.  Nama Al-Idrisi pula diambil sempena nama guru Sayyid Muhammad, Al-Ustaz Al-A'zam, Sayyid Ahmad Ibn Idris.

Menurut Sheikh Muhammad Fuad, agenda licik Barat menutup sejarah tersebut berjaya membuatkan ia hampir terkubur sekali gus dapat mengekang kekuatan umat Islam yang pernah dimiliki ulama silam.

"Sebagai contoh, mereka hanya memaparkan kisah atau filem mengenai Omar Mukhtar hingga menyebabkan umat Islam memperakui kehebatan panglima perang tersebut tanpa mengetahui siapa yang mentarbiahnya sehingga dia berjaya.

"Kehebatan keluarga Sanusi sampai ada keturunan mereka menjadi raja Libya pada satu ketika dahulu iaitu Al-Imam Sayyid Muhammad Idris Al-Mahdi As-Sanusi atau terkenal dengan panggilan Raja Idris. Namun kerajaan yang diperintahnya selama 18 tahun kemudian digulingkan pada 1969 oleh Muammar Gadafi sebelum beliau memilih untuk tinggal di Mesir dan wafat pada usia 93 tahun," katanya sambil memberitahu jenazahnya kemudian diterbangkan ke Madinah dan dimakamkan di situ.






Berkuda adalah kemahiran bagi Ikhwan Sanusi. al-Malik Idris as-Sanusi.

Salah seorang pembentang kertas kerja seminar tersebut, Ustaz Salahuddin Azarai berkata, antara rahsia kejayaan tarikat tersebut ialah ia mengikut sepenuhnya ajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan sunah nabi sehingga ia mampu membuatkan penjajah Barat gerun dengan gerakan yang mampu merencatkan usaha mereka menakluk negara-negara Islam ketika itu.

Katanya, Sayyid Muhammad yang mempunyai nasab keturunan hingga sampai kepada Rasulullah, merupakan orang yang bertanggungjawab mengembangkan tarikat tersebut di serata dunia dengan mempunyai ribuan anak murid berjiwa kental untuk berjihad semata-mata kerana Allah.

"Sayyid Muhammad merupakan ulama yang cerdik lagi berilmu. Beliau membidangi 50 disiplin ilmu namun sepanjang hayatnya, beliau hanya ditanya sebanyak 18 disiplin sahaja.

"Selain bergelumang dengan ilmu, beliau juga mendidik dan mentarbiah murid-muridnya di zawiyah-zawiyah (pusat hentian setempat) yang didirikan di Jaghbub, Libya. Di situ, beliau berjaya menerapkan nilai-nilai murni Islam sebagaimana yang dilakukan oleh nendanya, Nabi 

 Muhammad S.A.W," katanya.



Imam Sayyid Muhammad Ibn Ali as-Sanusi

Sayyid Ahmad as-Syariff (kiri) sentiasa bersiap siaga untuk mempertahankan kesucian Islam

Sayyid Muhammad al-'Abid ibn Sayyid Muhammad asy-Syarif ibn Sayyid Muhammad ibn Ali as-Sanusi. Saudara kandung Sayyid Ahmad asy-Syarif as-Sanusi.

Sayyid Muhammad al-Mahdi

Pada seminar itu, Salahuddin telah menceritakan dengan lebih jelas mengenai peribadi dan tokoh-tokoh tariqat al-Muhammadi itu.

Katanya, Sayyid Muhammad dilahirkan di Mustaghnim, Algeria pada 12 Rabiul Awal 1202 Hijriah dan menghafaz al-Quran ketika kanak-kanak lagi. Sepanjang hayatnya, beliau mempelajari ilmu daripada lebih 50 orang guru di serata dunia Islam seperti di Maghribi, Mekah, Algeria, Madinah, Yaman dan Mesir.

"Satu yang menarik mengenai Sayyid Muhammad ialah beliau mempunyai kemahiran luar biasa ketika menunggang kuda. Beliau mampu mengutip sesuatu di atas tanah, berdiri atas kaki dan kepala, memanah serta melempar sesuatu dengan tepat kepada sasarannya  sambil menunggang haiwan tersebut," katanya.



Salahuddin
Sayyid Muhammad kemudian dijemput Ilahi pada usia 72 tahun dan meninggalkan dua anak lelaki yang juga merupakan jaguh dalam dunia Islam iaitu Sayyid Muhammad Al-Mahdi dan Sayyid Muhammad Al-Syarif.

Namun menurut Salahuddin, keperkasaan manhaj tarikat tersebut hanya mula digeruni oleh Barat selepas kelahiran cucu Sayyid Muhammad iaitu Sayyid Ahmad Al-Syarif pada 1290 Hijriah. Sayyid Ahmad merupakan anak Sayyid Muhammad Al-Mahdi.

Pada tahun 1317 Hijriah,  beliau bersama bapa saudaranya telah bermusafir ke Kufra, Chad dan Koro di Sudan untuk berjihad selama 10 tahun menentang Perancis yang menyekat dakwah Islam di negara tersebut.

Beliau kemudian kembali ke tanah airnya, Libya untuk menentang Itali. Peperangan itu berpihak kepada tentera Muslimin namun atas pengaruh politik, kerajaan Uthmaniah yang ketika itu memerintah Libya telah membuat perjanjian damai dengan Itali sekali gus mengiktiraf penjajahan salah satu kuasa besar Barat itu ke atas Libya.

Perkara itu sama sekali tidak direstui oleh Sayyid Ahmad kerana  merasakan perjanjian tersebut sebagai berat sebelah. Jika mahu berdamai, Itali sepatutnya keluar dari tanah Libya dan membiarkan umat Islam di negara tersebut bebas bergerak di tanah air sendiri.

Kehebatan ilmu dan kepakaran mengatur strategi peperangan telah menjadikan Sayyid Ahmad sebagai orang yang penting menentang penjajah. Selain di Libya dan Sudan, Sayyid Ahmad juga terlibat dalam peperangan menentang penjajah Barat yang ingin menakluk negara Islam seperti di Mesir dan Maghribi selain wilayh Libya seperti di Bezafim, Sawani, Mu'aizil dan Wadi Qamar.

Kesemua peperangan itu berlaku selama tiga tahun berturut-turut bermula pada tahun 1331 Hijriah. 





Singa Padang Pasir, Omar mukhtar

Sayyid Ahmad as-Syarif
Antara pangilma perang yang berjaya dididik oleh Sayyid Ahmad ialah lelaki yang diberi gelaran Singa Padang Pasir, Omar Mukhtar. Umum mengetahui, Omar Mukhtar begitu tangkas berperang dan digeruni musuh terutamanya Itali ketika zamannya.

"Omar Mukhtar merupakan anak yatim yang dibesarkan di salah satu zawiyah di Libya. Beliau pernah bertanya kepada Sayyid Ahmad zikir apa yang patut diamalkan untuk membuatkan dirinya sentiasa dekat dengan Allah dan pertanyaan itu dibalas, "zikir engkau ialah al-Quran," katanya lagi.

Namun, panas yang diharapkan sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Selepas berjuang selama puluhan tahun, Omar Mukhtar akhirnya diberkas oleh tentera Itali dan dihukum gantung atas dakwaan melancarkan perang terhadap penjajah itu.

Namun pada hakikatnya, beliau telah meninggal dunia sebelum digantung lagi berdasarkan cacatan sejarah merakamkan al-Quran yang dipegang oleh panglima Islam itu telah jatuh lebih awal sebelum hukuman itu dijalankan.

"Perjalanan hidup Sayyid Ahmad tidaklah seindah yang disangkakan. Beliau telah menderita kerana menjadi orang buangan oleh Itali dan tidak dibenarkan beliau berada atau melepasi negara-negara yang menjadi jajahan mereka.

"Beliau telah mengambil jalan jauh untuk ke Mekah dan terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dan dugaan besar sepanjang permusafirannya. Beliau memilih jalan dari Istanbul, Turki seterusnya ke Syria sebelum menziarahi Baitulmaqdis di Palestin dan beberapa tempat lain yang bukan dalam jajahan Itali," katanya.





Sebahagian peserta wanita yang hadir pada Seminar Pemerkasaan Dakwah Kebangsaan al-Sanusiah Di Persada Dakwah

Selepas menunaikan haji dan umrah, beliau kemudian mengambil keputusan untuk bermukim di Madinah sehingga menghembuskan nafas terakhir di situ pada usia 61 tahun. Jenazah beliau yang mulia telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi' berdekatan dengan pintu masuknya di antara makam anak Rasulullah S.A.W, Ibrahim dan makam Imam Malik Ibn Anas.

Wednesday, May 1, 2013

Kita dahagakan pejuang seperti ini

 
Perkasa. Tabah. Rendah diri.Secebis yang dapat digambarkan mengenai keperibadian 'Lion of the Dessert, Omar Mokhtar.
PEJUANG Islam yang berjaya diberkas penjajah Itali sebelum dihukum gantung pada pagi 16 September 1931 di Kota Solouq.
Penjuang Islam di Libya digelar 'Singa Padang Pasir', Omar Mokhtar telah pun syahid sebelum anak kelahiran Janzour, selatan Barqa, Libya itu didakwa oleh penjajah Itali menemui ajal selepas dihukum gantung...Satu sejarah yang berbaloi untuk dikaji..Sebelah tangan pedang sebelah lagi Quran...masyaallah...tabarakallah.
Aku hamba kalian. Kata-kata itu hanya diucapkan oleh pahlawan Islam ini di hadapan keluarga As-Sanusiyyah yang juga keturunan pejuang Islam berjiwa kental yang penuh ilmu dunia dan akhirat, Al-Imam al-Akhbar, Muhammad ibn Ali As-Sanusiyy iaitu  Muhammad al-Mahdi dan Ahmad As-Syarif.
Hamba dalam maksud bukan untuk penyembahan tetapi sanggup mengikut arahan demi memastikan tertegaknya kalimah Islam dan mengusir penjajah barat yang dahagakan darah umat Nabi Muhammad SAW selain ingin mencuri ilmu yang diwarisi dari kitab suci dan ajaran Baginda.
Omar Mokhtar bukan sahaja berjuang di Libya malah di serata negara Islam. Perjuangan mereka telah menciptakan beberapa pertempuran yang hebat. 
 Misalnya pertempuran yang terjadi di Al-Hani dekat Tripoli pada 23 Oktober 1911, Ar-Rmaila dekat Misrata, Al-Fwaihat dekat Benghazi pada Mac 1912 dan Wadi Ash-Shwaer dekat Derna. 
Dalam 20 tahun terakhir hidupnya, beliau telah memimpin dan berjuang didalam 1,000 peperangan.
Perancis dan Itali sudah tahu bagaimana sukarnya untuk berdepan dengan pasukan tentera dipimpim Omar Mokhtar. Berapa ramai panglima yang kejam dihantar untuk berdepan pasukan Omar Mokhtar di padang pasir melainkan kesemuanya tewas.
Hinggalah pada masa yang ditentukan Allah, Omar Mokhtar berjaya ditangkap dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Namun perwira Islam tersebut bukannya mati digantung tetapi beliau telah terlebih dahulu menemui Allah SWT sebelum sempat digantung lagi.
Maknanya beliau telah syahid sebelum digantung tali keji Itali.  bacaan lanjut di http://www.yastro.net/2012/03/siri-pahlawan-islam-umar-mukhtar-omar.html
Bagaimanakah beliau mendapat maqam seperti ini? Apakah ilmu yang dipelajarinya dan siapakah guru-gurunya?
Ramai hanya maklum mengenai perjuangan beliau dan akhir hayat beliau yang terbukti diangkat Allah sebagai orang yang mulia di sisiNya.
Tetapi ramai yang masih lupa bagaimana beliau mendapat semua itu. Kedudukan tersebut tidak akan datang tanpa diusahakan atau dikurniakan oleh Allah ke atas hamba pilihanNya.
Mari kita melihat sejarah beliau. Mungkin tidak lengkap kerana ia ringkas dan penulis sendiri mempunyai pengetahuan yang sedikit mengenai wali Allah tersebut.
Sebagai seorang hafizul Quran dan pengikut tariqat al-Muhammadiyyah as-Sanusiyyah al-Ahmadiah, sudah pasti beliau berpegang pada kalimah Lailahaillallah MuhammadurRasulullah Fi Kul Li Lamhatin Wa Nafasin Adadama Wasiahu Ilmullah.


Al-Imam Muhammad ibn Ali As-Sanusiyy merupakan pakar kimia, doktor, ahli astronomi, pakar ilmu kebarangkalian, biologi, pakar matematik, pakar taktikal perang, dan macam-macam lagi berkaitan ilmu duniawi dan ukhrawi hinggakan tercatat yang beliau menguasai 50 cabang ilmu atau lebih ketika hayatnya. 


Muhammad ibn Ali merupakan murid kepada qutb zaman, Sayyid Ahmad ibn Idris. Beliau hanya belajar selama 15 hari dengan penghulu wali itu di Mekah kerana sebelum berguru beliau telah menyiapkan tempat letak ilmu di dadanya tanpa perlu diasuh terlebih dahulu oleh Sayyid Ahmad.


Tidak seperti murid-murid lain yang menuntut ilmu daripada Sayyid Ahmad. 



Al-Imam Muhammad Ibn Ali As-Sanusiy

Kelebihan Muhammad ibn Ali itu telah menyebabkan Sayyid Ahmad melantiknya sebagai khalifah untuk tariqat Ahmadiyyah sehingga menimbulkan perasaan cemburu pada murid-murid Sayyid Ahmad yang lain.


(Terdapat dialog antara Muhammad ibn Ali dan gurunya mengenai pelantikan tersebut tetapi penulis mengambil keputusan untuk tidak meletakkannya di sini).


Namun, perancangan Allah tiada siapa yang dapat menghalang sehinggalah Muhammad Ibn Ali pergi ke daerah Jaghbub, Libya. Satu daerah di mana penduduknya tidak tahu menulis mahupun membaca al-Fatihah.


Bermula di saat itulah, Muhammad ibn Ali memulakan langkah sehingga terbentuk satu kekuatan ummah berlandaskan kalimah Lailahaillallah Muhammaddur Rasulullah fi kul lilamhatin wa nafasin adadama wa siahu ilmullah.


Melalui tariqat tersebut, setiap peringkat orang dengan mudah dapat mengikutinya kerana amalan yang diterapkan dapat membawa seseorang itu melalui jalan menuju kepada Allah. 


Perlu diingatkan, semua tariqat membawa orang yang bersuluk kepada Allah tetapi tariqat ini begitu sesuai untuk orang yang mempunyai masa lapang dan sibuk dengan hal dunia.


Wiridnya al-Quran, kanzul saadah serta salawat al-Ma'thurat makanan jasad dan roh, sedekah amalan pekertinya,  mengajar dan mendidik kesukaannya, kekuatannya diterjemahkan dalam memerangi penjajah yang ingin merobek umat Islam.


Jika ditakdirkan Malaysia (ketika itu Tanah Melayu) berada dekat dengan Libya sudah tentu kita tidak akan dijajah dan diceroboh oleh Jepun dan British kerana Sayyid Muhammad dan pengikutnya pasti akan membantu kita.


Di antara anak murid Sayyid Muhammad ibn Ali As-Sanusiyy yang terkenal dengan keberanian menentang musuh ialah Omar Mokhtar.



Seperti gurunya, beliau juga mengamalkan apa yang diamalkan oleh pengikut tariqat Muhammadiyyah al-Sanusiyyah al-Ahmadiah.


Sejak mengenali keluarga Sanusiyy, tiada istilah berehat bagi Omar Mokhtar. Beliau seolah-olah tidak ingat lagi jalan pulang ke rumahnya kerana baginya jihad di jalan Allah merupakan sebesar-besar pekerjaan yang ingin dilakukan sepanjang hayatnya.


Selain itu, beliau juga akan merasa rugi jika berenggang dengan gurunya yang diibaratkan lautan ilmu. 

 Namun, Omar Mokhtar  tidak pernah bertemu dengan Sayyid Muhammad Ibn Ali ketika hidup. Beliau menjadi murid kepada anak imam besar itu iaitu Muhammad al-Mahdi dan Ahmad As-Syarif.

Namun menjadi adat penuntut ilmu mengatakan yang mereka murid kepada guru yang telah wafat melalui jalan sanad dan kitab-kitab yang dipelajari dari orang yang pernah mengambil ilmu dengannya.
Pernah dicatatkan bahawa Omar Mokhtar pernah mengisytiharkan di depan Muhammad al-Mahdi dan Ahmad As-Syarif yang dia merupakan hamba kepada keluarga Sanusiyy bagi menzahirkan kerendahan hatinya selepas mengetahui maqam dan kedudukan keluarga mulia tersebut.
Bahkan, Al-Imam Al-Akhbar, Muhammad ibn Ali As-Sanusiyy juga pernah mengatakan yang dia merupakan dalam kalangan kumpulan anaknya, Muhammad al-Mahdi selepas hatinya diberikan makrifah oleh Allah untuk melihat kedudukan anaknya di sisiNya.
Bercerita mengenai wali Allah memang tidak pernah habis. Tiada kertas yang mampu menanggungnya dan semua tinta pen pasti akan kehabisan dakwat kerana semakin banyak kita bercerita mengenai mereka, makin kurang pula rasanya ilmu mengenai mereka.
Moga Allah memberi taufik dan hidayahnya kepada kita semua mengenai kehidupan dan rahsia yang tersimpan rapi tanpa kita menyedarinya. Wallahhua'lam.
 maas salamah wa ilal liqa'

Friday, April 5, 2013

LIMA....Selepas hampir sembilan tahun baru nak pergi

1 Ogos 2013 ini genap sembilan tahun aku bergelar wartawan di Kosmo! iaitu akhbar kedua bernaung di bawah kumpulan Utusan.

Aku bangga bekerja dengan akhbar ini kerana ia membawa suara orang muda.Mengambil kata Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak "tiada siapa paksa kami bekerja di sini dan tiada halangan jika mahu meninggalkan keluarga Utusan. Utusan merupakan satu institusi yang melahirkan ramai VIP hatta menteri.

Dengan gaji permulaan RM1,590 aku dapat menikmati hidup di ibu kota yang penuh tipu daya, Kuala Lumpur. Pejabat kami di Chan Sow Lin dekat dengan kilang besi buruk dan kilang cetak akhbar China Press.

AHMAD ZAHID HAMIDI bersalaman dengan petugas kumpulan utusan sewaktu makan tengah hari LIMA'13 di ruang tinjau VVIP. Hanya Agong, Sultan dan menteri aje leh gi sini. Kira kami terpilih la hari tu. Cuma malang sekor pon tak menang lucky draw.


Dengan gaji itulah, aku mendirikan rumah tangga pada 2005. Hasil perkahwinan dapat tiga orang anak. Yang sulung kini berusia enam tahun.

Aku masih ingat ketika ditemu ramah untuk bekerja di sini, salah seorang pengarang Utusan bertanya kenapa mahu jadi wartawan? Aku jawab sebab nak jadi orang pertama tahu sesuatu perkara dan yang paling penting dapat pergi luar negara free.

Tapi yang sedihnya, hampir sembilan tahun aku di sini, takde satu trip ke luar negara pun yang aku berpeluang pergi. sob! sob! sob!.


AKSI Sukhoi di LIMA'13

Bukan tak diberi peluang tapi masa hendak pergi tu ada aje yang menghalangnya, Aku pernah diberi trip ke China tetapi masa tu pulak orang rumah nak bersalin. Visa sume dah dapat. Miss.

Trip ke Taiwan pun tak dapat pergi sebab clash dengan jadual Umrah aku. Miss lagi. Trip sebulan jalan-jalan dengan MPI tak dapat pergi sebab masalah teknikal. eh banyak lagi lah trip yang aku miss. Ade aje yang menghalangnya.

Entahlah, mungkin ada hikmahnya dan aku sendiri tidak pernah menyesalinya.

Tapi ada jugaklah tugasan yang membolehkan aku naik kapal terbang tanpa bayar sesen pun. Tapi trip dalam negara ajelah, Nak sebut pun segan. Biarlah rahsia...

Baru-baru ni aku diberi peluang naik kapal terbang free lagi ke Langkawi untuk membuat tugasan mengenai LIMA.

Alah, yang pameran tengok kapal terbang, kapal perang dan jet pejuang tulah.

Memang seronok pergi sana tetapi wartawan yang ditugaskan mestilah mengetahui isu-isu berkaitan agar tidak 'tercangak-cangak' bila berada di sana.

Kena tahu syarikat luar negara mana yang telah dan akan menjalin usaha sama dengan negara dalam memeterai perjanjian pembelian aset ketenteraan serta pengetahuan mengenai pempamer yang mengambil bahagian.

Sejak cover LIMA, baru aku tahu Rafalle, Sukhoi, MiG-29N, C130, Eurocopter, Typhoon, Bombadier, tim aerobatik Krisakti, Smokey Bandits, Russian Knights, Saab Group, helikopter Fennec, Agusta Westland dan macam-macam lagilah.
JET TYPHOON. Gambar ni aku dapat beberapa hari selepas LIMA berakhir 30 Mac lalu. Buatan BAE System, British

POWER jet ni. Raffalle. Buatan Perancis.

Seronok bercampur penat adalah asam garam wartawan yang melakukan tugasan ini. Apatah lagi aku merupakan wakil tunggal rasmi Kosmo! di LIMA di saat akhbar-akhbar lain menghantar antara 8 hingga 10 petugas untuk acara dwitahunan tersebut.

Seorang lagi wartawan Kosmo! yang pergi ke situ ialah Penolong Ketua Biro Kosmo Pulau Pinang, Zaki Salleh. Tapi dia pergi bukan atas arahan bos. Dia pergi sebab dia minat. Memang selalu dia buat macam tu setiap kalu LIMA diadakan.
KAPAL selam KD Tunku Abdul Rahman turut dipamerkan kali ini di Langkawi.

KAPAL perang yang berlabuh di Porto Malai, Pantai Cenang, Langkawi

Kali ni dia berniaga. Jual buku Komando 69. Bagus buku tu tapi aku tak berapa minat nak beli. Dia ikut stail Do Re Mi berniaga paksa. Terpaksa aku amek jugak. nasib nasib. Sorang lagi mangsa beli paksa ialah Ketua Biro Kedah, Sahbulah Darwi. Roommate aku di sebuah Hotel di pekan Kuah.
NI dia buku 69 Komando yang dijual kepada aku. Bagus gak buku ni sebab rata-rata gambar dalam ni semuanya gambar operasi yang tidak pernah dikeluarkan sebelum ini. Cerita asal penubuhan pasukan Komando polis. Berbaloi untuk dibaca dan dimiliki.


Cerita pasal hotel, ada benda menarik untuk dikongsi. Hotel tu rasanya ada sembilan tingkat dan aku dengar cerita hanya dibuka dua tahun sekali sempena LIMA. Haiya....memang takde bintang punya hotel.

Hotel tu terpaksa dibooking sebab hotel dan homestay lain penuh dan kalau ada pun, mahal Ya Rabbi.


Masa kami sampai di hotel tu, rasa semacam aje sebab suram dan takde pelanggan lain yang check in. Hanya kami kumpulan Utusan yang seramai sembilan orang.

Lobi dia takde aircond dan ade kolam kecik di lobi tu hanya tinggal kolam aje. Air pancut dan dimatikan. Ade ruang coffe house tapi dah tutup dengan kerusinya dinaikkan di atas meja dan berhabuk. Tandas kat lobi pun gelap dan menyeramkan pada waktu siang apatah lagi malam.

Dengar cerita di hotel tu ade sorang wanita pernah terjun dari tingkat berapa ntah dan mati akibat patah tengkuk. Bertambah seram. Cerita tu kami tahu pada hari ketiga kami menginap di sana. Mula check in pada pukul 8 malam 25 Mac 2013.

Orang ceritalah. Tapi tak tahu sejauh mana kebenarannya. Jangan saman ar apek.

Lif dia memang taraf rumah flat punya lah. Bilik kami semua di tingkat lima. Sampai tingkat lima, sebaik keluar lif, bahang panas pulau bersejarah yang tidak langsung hujan ketika kunjungan aku ke situ mula terasa.

Belok kanan nak pergi bilik tengok koridor dia memang suram dan menyeramkan. Karpet nipis ntah bila punya tahun ntah. kesan lusuh akibat pijakan kaki guest yang check in jelas kelihatan. Tiada pengunjung lain yang datang ketika kami sampai.

Namun ada dua tiga family yang cek in kat situ lepas kami masuk kira-kira dua atau tiga hari kemudian.

Nasib baik takde kejadian mistik yang berlaku sepanjang kami di sana. Alhamdulillah. Mungkin cerita yang didongengkan itu tidak benar kerana kami sendiri pernah tidur di situ dan tidak menemui apa-apa kejadian pelik. Jadi pelancong tidak perlu risau.

Tapi apa yang membuatkan kami bangga ialah apek yang jaga hotel tu puas hati dengan kami kerana kami tidak banyak komplen dan merungut mengenai fasiliti di situ. Apek tu jugak sangkal dakwaan mengatakan yang dia hanya bukak hotel tu dua tahun sekali.

"Uncle bukak tiap-tiap hali," tegasnya.

Bagi kami, hotel tu untuk tidur sahaja kerana kami akan keluar seawal pukul 7 pagi dan pulang sekitar jam 10 malam setiap hari selama enam hari.

Nanti akan diceritakan kisah di sebalik LIMA antaranya bagaimana misi mencari kasut Sahbulah dan misteri kehilangan tali pinggang hitam seluar slack dia.....


Maas salamah wa ilal liqa'


Saturday, December 29, 2012

Nama aku, nama kamu...kita berbeza

Salam, bertemu lagi kita di sini.


Kita bangga menjadi rakyat Malaysia. Tanah yang subur dan kaya dengan sumber bumi hingga dicemburui orang luar

Malaysia yang kita cintai telah 55 tahun merdeka. sebelum merdeka, tanah yang begitu subur dan kaya dengan hasil galian ini dipanggil Tanah Melayu.

Merdeka bukan hanya perlu diingati pada 31 Ogos setiap tahun. Ia berterusan. Sama seperti kita ingat kepada Allah dan Rasulullah SAW. Setiap masa agar kita tidak lupa dan lalai dengan kesibukan duniawi.

Namun, amatlah kecewa. Jika dikira pada orang, umur 55 tahun sepatutnya mematangkan dirinya. Tahu mengenai rencah kehidupan dan segala macam tipu daya dunia.

Tetapi itu tidak terjadi. walaupun lebih sedekad kita merdeka, nampaknya pemikiran kira masih dijajah oleh anasir luar. Ini sungguh membimbangkan.

Apa nasib anak-anak yang bakal berdepan dengan suasana zaman canggih di mana ketika itu manusia mungkin dapat mengembara menggunakan teleport macam kartun Futurama.

Best kartun tu. Orang tua pun boleh layan.

Sebenarnya, bukan itu yang aku mahu cakap. Ia mengenai penggunaan nama penjajah di sesetengah lokasi yang bukan sahaja masih utuh  malah, menjadi kebanggaan masyarakat sekarang. Haih!

Nama seperti King George V di seremban, Henry Gurney di Melaka, Georgetown, Queens Bay, Rafflesia, Hospital Queen Elizabeth cukup untuk menggambarkan betapa kita tidak mempunyai identiti sendiri yang kukuh.

Sekarang baru masuk persoalan yang kurang diketengahkan. Sekiranya nama-nama itu dengan senang diguna pakai tanpa ada pihak yang mempersoalkan, mengapa ada pihak tertentu yang melabelkan pergerakan sesuatu Badan Bukan Kerajaan sebagai sesat atau taksub atau tidak moden jika menggunakan nama pejuang-pejuang Islam.

Sungguh kolot. Amat memalukan. Kita dipandang hina oleh musuh-musuh Islam.

Jika hendak pakai nama Saidina Hussin dicop sebagai Syiah. Pakai nama Omar Mokhtar dicop kampung. Pakai nama al-Imam Sayyid Muhammad Ibn Ali as-Sanusi dan dianggap kolot. Apa ni? Ia cuma nama.  Nama yang disegani bagi orang yang memahami dan tahu. Bukan untuk orang jahil dan bodoh.
Imam Muhammad Ibn Ali as-Sanusi. Pejuang Islam dan wali Allah di Libya yang menjadikan penduduk Jaghbub pahlawan Islam yang ditakuti musuh terutamanya Itali ketika ingin melakukan penaklukan. Berpegang pada kalimah Lailahaillah Muhammadur Rasulullah Fi Kul Lilamhatin Wanafasin Adadama Wasiahu Ilmullah.

Sebagaimana kamu tidak mempersoalkan nama-nama penjajah yang masih utuh di papan tanda premis-premis atau jalan-jalan raya, kamu juga tiada hak untuk mempersoalkan kami yang hendak menggunakan nama-nama pejuang Islam sebagai hendak menunjukkan rasa bangga kami.

Penggunaan nama itu menandakan sayangnya seseorang kepada empunya nama itu. Kami sayang kepada Sheikh kami maka kami hendak gunakan nama dia. Ada masalah?

Jangan sewenang-wenang hendak menuduh tanpa membuat penyeledikan atau bertanya orang yang lebih arif.

Bukan emosi tetapi menyatakan hak. Kamu mempunyai hak dan kami juga begitu. Kami mahu membuat Sheikh kami berbangga dengan kami bukan kami seorang yang berbangga dengan Sheikh kami. Itu sahaja.

Jadi, merdekakah kita? Maas Salamah Wa Ilal Liqa