Wednesday, October 30, 2013

Indahnya jika semua pemimpin mengamalkan manhaj tarikat ni....




Gambaran pelukis mengenai Sayyid Muhammad ibn Ali as-Sanusi bersama-sama Ikhwan Sanusi meletakkan batu asas bagi pembinaan Zawiyah Sanusiyyah
Menghadiri Seminar Pemerkasaan Dakwah Kebangsaan Al-Sanusiah Di Persada Dakwah anjuran Kumpulan Pendidikan As-Sofa di Pusat Konvensyen TM di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur 22 September lalu ternyata mengujakan.

Walaupun hanya mengambil masa selama enam jam bermula pukul 10 pagi, seminar itu berjaya membongkar satu rahsia besar yang cuba disembunyikan oleh pihak tertentu terutamanya Barat dalam usaha untuk menjauhkan umat Islam dari sumber kekuatan hakiki iaitu al-Quran dan sunah Nabi Muhammad S.A.W.

Jaguh-jaguh Islam yang semakin dilupakan jasa dan bakti mereka dalam agama menjadi topik utama seminar tersebut. Walaupun hidup dalam zaman yang berbeza namun, mereka bersandarkan pada satu jalan baik dari segi amalan dan kehidupan iaitu mengikuti manhaj yang diterapkan dalam tarikat Al-Muhammadi Al-Sanusi Al-Idrisi.

Diasaskan oleh kutub pada zamannya, Al-Ustaz Al- A'zam, Al-Imam Ahmad Ibn Idris dan dikembangkan oleh anak murid beliau, Al-Imam Akhbar, Sayyid Muhammad Ibn Ali Al-Sanusi Al-Hasani selepas 1240 Hijriah (1825 M), tarikat tersebut berjaya mencetak kader-kader Islam dalam usaha untuk menjaga kesucian agama dari dirobek golongan kufar.

Seminar itu membuka tirainya dengan ucaptama Pengerusi Akidah Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Kumpulan Pendidikan Sofa, Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Muhammadi.

"Keluarga Sanusi merupakan orang yang bertanggungjawab memperkasakan Islam hingga digeruni dan dihormati kawan dan lawan. Manhaj yang terdapat di dalam tarikat al-Muhammadi ini berjaya menobatkan Islam di mata dunia.

"Saya gesa mana-mana pihak supaya menggunakan method yang telah digariskan ulama silam untuk diamalkan jika ingin mencapai kejayaan mutlak. Tiada ulama di seluruh dunia yang pernah mempertikaikan kehebatan dan kebenaran yang dibawa tarikat ini kerana ia mengikut manhaj yang dipusakai daripada Rasulullah S.A.W," katanya.





Ikhwan Sanusi ketika menentang penjajahan Itali pada 1912


Sheikh Muhammad Fuad al-Muhammadi

Tambahnya, ia dinamakan dengan al-Muhammadi As-Sanusi Al-Idrisi kerana sumbernya terus daripada Rasulullah dan digelar Sanusi ekoran Sayyid Muhammad merupakan figura yang bertanggungjawab menyebar luaskannya hingga ia dikenali hingga ke hari ini.  Nama Al-Idrisi pula diambil sempena nama guru Sayyid Muhammad, Al-Ustaz Al-A'zam, Sayyid Ahmad Ibn Idris.

Menurut Sheikh Muhammad Fuad, agenda licik Barat menutup sejarah tersebut berjaya membuatkan ia hampir terkubur sekali gus dapat mengekang kekuatan umat Islam yang pernah dimiliki ulama silam.

"Sebagai contoh, mereka hanya memaparkan kisah atau filem mengenai Omar Mukhtar hingga menyebabkan umat Islam memperakui kehebatan panglima perang tersebut tanpa mengetahui siapa yang mentarbiahnya sehingga dia berjaya.

"Kehebatan keluarga Sanusi sampai ada keturunan mereka menjadi raja Libya pada satu ketika dahulu iaitu Al-Imam Sayyid Muhammad Idris Al-Mahdi As-Sanusi atau terkenal dengan panggilan Raja Idris. Namun kerajaan yang diperintahnya selama 18 tahun kemudian digulingkan pada 1969 oleh Muammar Gadafi sebelum beliau memilih untuk tinggal di Mesir dan wafat pada usia 93 tahun," katanya sambil memberitahu jenazahnya kemudian diterbangkan ke Madinah dan dimakamkan di situ.






Berkuda adalah kemahiran bagi Ikhwan Sanusi. al-Malik Idris as-Sanusi.

Salah seorang pembentang kertas kerja seminar tersebut, Ustaz Salahuddin Azarai berkata, antara rahsia kejayaan tarikat tersebut ialah ia mengikut sepenuhnya ajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan sunah nabi sehingga ia mampu membuatkan penjajah Barat gerun dengan gerakan yang mampu merencatkan usaha mereka menakluk negara-negara Islam ketika itu.

Katanya, Sayyid Muhammad yang mempunyai nasab keturunan hingga sampai kepada Rasulullah, merupakan orang yang bertanggungjawab mengembangkan tarikat tersebut di serata dunia dengan mempunyai ribuan anak murid berjiwa kental untuk berjihad semata-mata kerana Allah.

"Sayyid Muhammad merupakan ulama yang cerdik lagi berilmu. Beliau membidangi 50 disiplin ilmu namun sepanjang hayatnya, beliau hanya ditanya sebanyak 18 disiplin sahaja.

"Selain bergelumang dengan ilmu, beliau juga mendidik dan mentarbiah murid-muridnya di zawiyah-zawiyah (pusat hentian setempat) yang didirikan di Jaghbub, Libya. Di situ, beliau berjaya menerapkan nilai-nilai murni Islam sebagaimana yang dilakukan oleh nendanya, Nabi 

 Muhammad S.A.W," katanya.



Imam Sayyid Muhammad Ibn Ali as-Sanusi

Sayyid Ahmad as-Syariff (kiri) sentiasa bersiap siaga untuk mempertahankan kesucian Islam

Sayyid Muhammad al-'Abid ibn Sayyid Muhammad asy-Syarif ibn Sayyid Muhammad ibn Ali as-Sanusi. Saudara kandung Sayyid Ahmad asy-Syarif as-Sanusi.

Sayyid Muhammad al-Mahdi

Pada seminar itu, Salahuddin telah menceritakan dengan lebih jelas mengenai peribadi dan tokoh-tokoh tariqat al-Muhammadi itu.

Katanya, Sayyid Muhammad dilahirkan di Mustaghnim, Algeria pada 12 Rabiul Awal 1202 Hijriah dan menghafaz al-Quran ketika kanak-kanak lagi. Sepanjang hayatnya, beliau mempelajari ilmu daripada lebih 50 orang guru di serata dunia Islam seperti di Maghribi, Mekah, Algeria, Madinah, Yaman dan Mesir.

"Satu yang menarik mengenai Sayyid Muhammad ialah beliau mempunyai kemahiran luar biasa ketika menunggang kuda. Beliau mampu mengutip sesuatu di atas tanah, berdiri atas kaki dan kepala, memanah serta melempar sesuatu dengan tepat kepada sasarannya  sambil menunggang haiwan tersebut," katanya.



Salahuddin
Sayyid Muhammad kemudian dijemput Ilahi pada usia 72 tahun dan meninggalkan dua anak lelaki yang juga merupakan jaguh dalam dunia Islam iaitu Sayyid Muhammad Al-Mahdi dan Sayyid Muhammad Al-Syarif.

Namun menurut Salahuddin, keperkasaan manhaj tarikat tersebut hanya mula digeruni oleh Barat selepas kelahiran cucu Sayyid Muhammad iaitu Sayyid Ahmad Al-Syarif pada 1290 Hijriah. Sayyid Ahmad merupakan anak Sayyid Muhammad Al-Mahdi.

Pada tahun 1317 Hijriah,  beliau bersama bapa saudaranya telah bermusafir ke Kufra, Chad dan Koro di Sudan untuk berjihad selama 10 tahun menentang Perancis yang menyekat dakwah Islam di negara tersebut.

Beliau kemudian kembali ke tanah airnya, Libya untuk menentang Itali. Peperangan itu berpihak kepada tentera Muslimin namun atas pengaruh politik, kerajaan Uthmaniah yang ketika itu memerintah Libya telah membuat perjanjian damai dengan Itali sekali gus mengiktiraf penjajahan salah satu kuasa besar Barat itu ke atas Libya.

Perkara itu sama sekali tidak direstui oleh Sayyid Ahmad kerana  merasakan perjanjian tersebut sebagai berat sebelah. Jika mahu berdamai, Itali sepatutnya keluar dari tanah Libya dan membiarkan umat Islam di negara tersebut bebas bergerak di tanah air sendiri.

Kehebatan ilmu dan kepakaran mengatur strategi peperangan telah menjadikan Sayyid Ahmad sebagai orang yang penting menentang penjajah. Selain di Libya dan Sudan, Sayyid Ahmad juga terlibat dalam peperangan menentang penjajah Barat yang ingin menakluk negara Islam seperti di Mesir dan Maghribi selain wilayh Libya seperti di Bezafim, Sawani, Mu'aizil dan Wadi Qamar.

Kesemua peperangan itu berlaku selama tiga tahun berturut-turut bermula pada tahun 1331 Hijriah. 





Singa Padang Pasir, Omar mukhtar

Sayyid Ahmad as-Syarif
Antara pangilma perang yang berjaya dididik oleh Sayyid Ahmad ialah lelaki yang diberi gelaran Singa Padang Pasir, Omar Mukhtar. Umum mengetahui, Omar Mukhtar begitu tangkas berperang dan digeruni musuh terutamanya Itali ketika zamannya.

"Omar Mukhtar merupakan anak yatim yang dibesarkan di salah satu zawiyah di Libya. Beliau pernah bertanya kepada Sayyid Ahmad zikir apa yang patut diamalkan untuk membuatkan dirinya sentiasa dekat dengan Allah dan pertanyaan itu dibalas, "zikir engkau ialah al-Quran," katanya lagi.

Namun, panas yang diharapkan sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Selepas berjuang selama puluhan tahun, Omar Mukhtar akhirnya diberkas oleh tentera Itali dan dihukum gantung atas dakwaan melancarkan perang terhadap penjajah itu.

Namun pada hakikatnya, beliau telah meninggal dunia sebelum digantung lagi berdasarkan cacatan sejarah merakamkan al-Quran yang dipegang oleh panglima Islam itu telah jatuh lebih awal sebelum hukuman itu dijalankan.

"Perjalanan hidup Sayyid Ahmad tidaklah seindah yang disangkakan. Beliau telah menderita kerana menjadi orang buangan oleh Itali dan tidak dibenarkan beliau berada atau melepasi negara-negara yang menjadi jajahan mereka.

"Beliau telah mengambil jalan jauh untuk ke Mekah dan terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dan dugaan besar sepanjang permusafirannya. Beliau memilih jalan dari Istanbul, Turki seterusnya ke Syria sebelum menziarahi Baitulmaqdis di Palestin dan beberapa tempat lain yang bukan dalam jajahan Itali," katanya.





Sebahagian peserta wanita yang hadir pada Seminar Pemerkasaan Dakwah Kebangsaan al-Sanusiah Di Persada Dakwah

Selepas menunaikan haji dan umrah, beliau kemudian mengambil keputusan untuk bermukim di Madinah sehingga menghembuskan nafas terakhir di situ pada usia 61 tahun. Jenazah beliau yang mulia telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi' berdekatan dengan pintu masuknya di antara makam anak Rasulullah S.A.W, Ibrahim dan makam Imam Malik Ibn Anas.

No comments:

Post a Comment