Wednesday, May 1, 2013

Kita dahagakan pejuang seperti ini

 
Perkasa. Tabah. Rendah diri.Secebis yang dapat digambarkan mengenai keperibadian 'Lion of the Dessert, Omar Mokhtar.
PEJUANG Islam yang berjaya diberkas penjajah Itali sebelum dihukum gantung pada pagi 16 September 1931 di Kota Solouq.
Penjuang Islam di Libya digelar 'Singa Padang Pasir', Omar Mokhtar telah pun syahid sebelum anak kelahiran Janzour, selatan Barqa, Libya itu didakwa oleh penjajah Itali menemui ajal selepas dihukum gantung...Satu sejarah yang berbaloi untuk dikaji..Sebelah tangan pedang sebelah lagi Quran...masyaallah...tabarakallah.
Aku hamba kalian. Kata-kata itu hanya diucapkan oleh pahlawan Islam ini di hadapan keluarga As-Sanusiyyah yang juga keturunan pejuang Islam berjiwa kental yang penuh ilmu dunia dan akhirat, Al-Imam al-Akhbar, Muhammad ibn Ali As-Sanusiyy iaitu  Muhammad al-Mahdi dan Ahmad As-Syarif.
Hamba dalam maksud bukan untuk penyembahan tetapi sanggup mengikut arahan demi memastikan tertegaknya kalimah Islam dan mengusir penjajah barat yang dahagakan darah umat Nabi Muhammad SAW selain ingin mencuri ilmu yang diwarisi dari kitab suci dan ajaran Baginda.
Omar Mokhtar bukan sahaja berjuang di Libya malah di serata negara Islam. Perjuangan mereka telah menciptakan beberapa pertempuran yang hebat. 
 Misalnya pertempuran yang terjadi di Al-Hani dekat Tripoli pada 23 Oktober 1911, Ar-Rmaila dekat Misrata, Al-Fwaihat dekat Benghazi pada Mac 1912 dan Wadi Ash-Shwaer dekat Derna. 
Dalam 20 tahun terakhir hidupnya, beliau telah memimpin dan berjuang didalam 1,000 peperangan.
Perancis dan Itali sudah tahu bagaimana sukarnya untuk berdepan dengan pasukan tentera dipimpim Omar Mokhtar. Berapa ramai panglima yang kejam dihantar untuk berdepan pasukan Omar Mokhtar di padang pasir melainkan kesemuanya tewas.
Hinggalah pada masa yang ditentukan Allah, Omar Mokhtar berjaya ditangkap dan dikenakan hukuman gantung sampai mati. Namun perwira Islam tersebut bukannya mati digantung tetapi beliau telah terlebih dahulu menemui Allah SWT sebelum sempat digantung lagi.
Maknanya beliau telah syahid sebelum digantung tali keji Itali.  bacaan lanjut di http://www.yastro.net/2012/03/siri-pahlawan-islam-umar-mukhtar-omar.html
Bagaimanakah beliau mendapat maqam seperti ini? Apakah ilmu yang dipelajarinya dan siapakah guru-gurunya?
Ramai hanya maklum mengenai perjuangan beliau dan akhir hayat beliau yang terbukti diangkat Allah sebagai orang yang mulia di sisiNya.
Tetapi ramai yang masih lupa bagaimana beliau mendapat semua itu. Kedudukan tersebut tidak akan datang tanpa diusahakan atau dikurniakan oleh Allah ke atas hamba pilihanNya.
Mari kita melihat sejarah beliau. Mungkin tidak lengkap kerana ia ringkas dan penulis sendiri mempunyai pengetahuan yang sedikit mengenai wali Allah tersebut.
Sebagai seorang hafizul Quran dan pengikut tariqat al-Muhammadiyyah as-Sanusiyyah al-Ahmadiah, sudah pasti beliau berpegang pada kalimah Lailahaillallah MuhammadurRasulullah Fi Kul Li Lamhatin Wa Nafasin Adadama Wasiahu Ilmullah.


Al-Imam Muhammad ibn Ali As-Sanusiyy merupakan pakar kimia, doktor, ahli astronomi, pakar ilmu kebarangkalian, biologi, pakar matematik, pakar taktikal perang, dan macam-macam lagi berkaitan ilmu duniawi dan ukhrawi hinggakan tercatat yang beliau menguasai 50 cabang ilmu atau lebih ketika hayatnya. 


Muhammad ibn Ali merupakan murid kepada qutb zaman, Sayyid Ahmad ibn Idris. Beliau hanya belajar selama 15 hari dengan penghulu wali itu di Mekah kerana sebelum berguru beliau telah menyiapkan tempat letak ilmu di dadanya tanpa perlu diasuh terlebih dahulu oleh Sayyid Ahmad.


Tidak seperti murid-murid lain yang menuntut ilmu daripada Sayyid Ahmad. 



Al-Imam Muhammad Ibn Ali As-Sanusiy

Kelebihan Muhammad ibn Ali itu telah menyebabkan Sayyid Ahmad melantiknya sebagai khalifah untuk tariqat Ahmadiyyah sehingga menimbulkan perasaan cemburu pada murid-murid Sayyid Ahmad yang lain.


(Terdapat dialog antara Muhammad ibn Ali dan gurunya mengenai pelantikan tersebut tetapi penulis mengambil keputusan untuk tidak meletakkannya di sini).


Namun, perancangan Allah tiada siapa yang dapat menghalang sehinggalah Muhammad Ibn Ali pergi ke daerah Jaghbub, Libya. Satu daerah di mana penduduknya tidak tahu menulis mahupun membaca al-Fatihah.


Bermula di saat itulah, Muhammad ibn Ali memulakan langkah sehingga terbentuk satu kekuatan ummah berlandaskan kalimah Lailahaillallah Muhammaddur Rasulullah fi kul lilamhatin wa nafasin adadama wa siahu ilmullah.


Melalui tariqat tersebut, setiap peringkat orang dengan mudah dapat mengikutinya kerana amalan yang diterapkan dapat membawa seseorang itu melalui jalan menuju kepada Allah. 


Perlu diingatkan, semua tariqat membawa orang yang bersuluk kepada Allah tetapi tariqat ini begitu sesuai untuk orang yang mempunyai masa lapang dan sibuk dengan hal dunia.


Wiridnya al-Quran, kanzul saadah serta salawat al-Ma'thurat makanan jasad dan roh, sedekah amalan pekertinya,  mengajar dan mendidik kesukaannya, kekuatannya diterjemahkan dalam memerangi penjajah yang ingin merobek umat Islam.


Jika ditakdirkan Malaysia (ketika itu Tanah Melayu) berada dekat dengan Libya sudah tentu kita tidak akan dijajah dan diceroboh oleh Jepun dan British kerana Sayyid Muhammad dan pengikutnya pasti akan membantu kita.


Di antara anak murid Sayyid Muhammad ibn Ali As-Sanusiyy yang terkenal dengan keberanian menentang musuh ialah Omar Mokhtar.



Seperti gurunya, beliau juga mengamalkan apa yang diamalkan oleh pengikut tariqat Muhammadiyyah al-Sanusiyyah al-Ahmadiah.


Sejak mengenali keluarga Sanusiyy, tiada istilah berehat bagi Omar Mokhtar. Beliau seolah-olah tidak ingat lagi jalan pulang ke rumahnya kerana baginya jihad di jalan Allah merupakan sebesar-besar pekerjaan yang ingin dilakukan sepanjang hayatnya.


Selain itu, beliau juga akan merasa rugi jika berenggang dengan gurunya yang diibaratkan lautan ilmu. 

 Namun, Omar Mokhtar  tidak pernah bertemu dengan Sayyid Muhammad Ibn Ali ketika hidup. Beliau menjadi murid kepada anak imam besar itu iaitu Muhammad al-Mahdi dan Ahmad As-Syarif.

Namun menjadi adat penuntut ilmu mengatakan yang mereka murid kepada guru yang telah wafat melalui jalan sanad dan kitab-kitab yang dipelajari dari orang yang pernah mengambil ilmu dengannya.
Pernah dicatatkan bahawa Omar Mokhtar pernah mengisytiharkan di depan Muhammad al-Mahdi dan Ahmad As-Syarif yang dia merupakan hamba kepada keluarga Sanusiyy bagi menzahirkan kerendahan hatinya selepas mengetahui maqam dan kedudukan keluarga mulia tersebut.
Bahkan, Al-Imam Al-Akhbar, Muhammad ibn Ali As-Sanusiyy juga pernah mengatakan yang dia merupakan dalam kalangan kumpulan anaknya, Muhammad al-Mahdi selepas hatinya diberikan makrifah oleh Allah untuk melihat kedudukan anaknya di sisiNya.
Bercerita mengenai wali Allah memang tidak pernah habis. Tiada kertas yang mampu menanggungnya dan semua tinta pen pasti akan kehabisan dakwat kerana semakin banyak kita bercerita mengenai mereka, makin kurang pula rasanya ilmu mengenai mereka.
Moga Allah memberi taufik dan hidayahnya kepada kita semua mengenai kehidupan dan rahsia yang tersimpan rapi tanpa kita menyedarinya. Wallahhua'lam.
 maas salamah wa ilal liqa'

No comments:

Post a Comment