Madinah sudah berada di depan mata. Pelbagai perasaan mula menjenguk hati di kala ini. Rasa riang, sedih, teruja, rindu bercampur-baur.
Riang kerana dapat menziarahi maqam Rasullullah SAW.
Sedih kerana tidak sangka akan dapat menjejakkan kaki tanpa diduga.
Teruja kerana dapat melihat sendiri suasana di kota yang penuh berkat kerana di dalamnya tersemadi jasad makhluk Tuhan yang paling tinggi kedudukannya iaitu Rasullulah SAW.
Rindu kerana terlalu lama berpisah dengan Nabi SAW.
Ah, apa lagi yang hendak dilakukan sebaik tiba di sini seawal pukul 2 pagi.
Ya, Masjid Nabawi menjadi tujuan utama aku. Selepas membersihkan diri, kaki melangkah laju ke masjid.
Aku ditempatkan di Hotel Fayruz. Dalam bilik 712 aku bersama lima lagi jemaah yang sama-sama bertolak dari KLIA ke Jeddah.
Keheningan pagi di pekarangan masjid menambahkan lagi rasa hiba. Keajaiban pertama aku saksikan ialah bulan pernama mengambang penuh. Terasa begitu dekat.
Bulan itu bagaikan berada betul-betul di depan mata. Benarlah kata pencinta Nabi SAW yang mana kecantikan Baginda diumpamakan seperti bulan purnama dan aku dapat menyaksikannya di depan mata.
Subhanallah! Air mata berjujuran tanpa diminta. Keinsafan segera menerjah hati. Selepas menyaksikan fenomena itu selama beberapa minit, aku melangkah masuk ke dewan masjid menuju ke Raudah.
Mengharapkan kesudian Nabi SAW menerima kunjungan ku yang penuh dosa dan kesalahan terhadap Baginda adalah tujuan utama. Maafkan saya wahai Rasullullah kerana mengabaikan hakmu selama ini.
Bulan mengambang penuh ketika aku sampai di Msjid Nabawi. Ia begitu dekat tetapi bila diambil, ia tidak keliahatan seperti aku melihatnya secara 'live' |
Umat Baginda tidak terlalu ramai ketika itu tetapi Raudah telah dipenuhi dan ditutup dengan kanvas.
Aku terus menuju ke depan maqam untuk memberi salam selamat datang kepada Baginda sambil hatiku berasa tidak layak untuk berada di depan Nabi dengan hatiku penuh kekaratan dan tidak disulami rasa taubat.
Tetapi, jauh di sudut hati, aku berharap agar kedatanganku diterima baik oleh Baginda. Bersangka baik adalah senjata yang ampuh bila hati mula goyah akibat digoda syaitan
Ummat Baginda tidak begitu ramai ketika aku mengunjungi Maqam Rasulullah pada pukul 2 pagi 5 Mei 2012. Gambar diambil selepas selesai memberi dan menyampaikan salam ahli keluargaku. |
No comments:
Post a Comment