Thursday, August 30, 2012

Raya kini...Raya dahulu

Agak lama aku tidak menulis. Bukan disebabkan tiada apa yang hendak dikongsikan tetapi tiba-tiba aku diserang penyakit malas. Ramadan baru sahaja berlalu pergi dengan membawa bersamanya segala kebaikan untuk orang yang ditakdirkan mendapat kebaikan.

Disusuli Syawal yang masih disambut oleh rata-rata masyarakat di Malaysia kerana mereka masih berfikiran puasa sebulan=raya sebulan.

Bagi aku, tiada lagi raya selepas selesai khatib membaca khutbah solat sunat hari raya. Patutnya esoknya bolehlah terus puasa 6 tetapi disebabkan ingin beraya maka minggu kedua Syawal barulah nak puasa.

Cerita pasal raya, semestinya kanak-kanak yang paling gembira sebab dapat duit raya.Tadi dengar Suria fm ada seorang pemanggil tu cakap anak dia dapat duit lebih RM1,000.  Sepanjang zaman kanak-kanak aku, belum pernah lagi dapat duit sebanyak tu. Paling banyak orang kampung bagi RM1 dan ada juga yang bagi 50 sen.

Namun, raya sekarang ni dah jauh berubah. Semangat raya sebenarnya telah ditarik dan lenyap dek kemodenan. Kanak-kanak di kampung mahupun di bandar tidak lagi tahu erti sebenar syoknyer beraya. Apa yang mereka tahu main mercun, dapat duit raya dan menghadap gajet atau bermain PSP, PS atau XBox.

Jika dulu, menjelang raya, (malam 27 likur) aku dah mula sibuk memacak  batang kayu untuk  memasang pelita. Saat tu, bunga api dan mercun yang selamat mudah didapati dengan harga murah. Meriahnya main bunga api dan mercun (ada jugak yang panggil petas) sampai beli mercun padi, bunga api das, mercun katak, mercun merah, bunga api lalat, bunga api telur naga, mercun tarik, bunga api kucing dan macam-macam lagilah yang dah takde lagi sekarang ni.

Malam raya pulak, ikut jemaah masjid pergi takbir di rumah orang kampung (sebab dapat duit dan makan ketupat).

Tapi bila dah besau dan mula mencari ilmu untuk mengenal diri dan Tuhan, semua itu (kecuali bertakbir membesarkan Allah) bagaikan tiada langsung menjadi tarikan buat diriku kini.

Hari raya sebenarnya hanya untuk disambut oleh orang yang ingin merayakan kejayaan mereka mengekang hawa nafsu yang sebelum itu banyak menyesatkan dan menjauhkan diri kita daripada Allah.

Hari raya bukanlah untuk kita menunjuk-nunjuk sebaliknya sejauh mana kita menginsafi diri dan berharap agar amalan puasa yang dilakukan pada 30 hari sepanjang Ramadan diterima Allah.

Semoga kita menjadi yang lebih baik dari semalam dan amatlah molek jika baki hayat yang dinikmati  sekarang ini diisi dengan rasa takut dan berharap kepada Allah moga segala dosa diampunkan dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Maas Salamah Wa Ilal Liqa'




No comments:

Post a Comment