Sunday, August 3, 2014

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri bagi aku sudah habis sebaik muazzin mengumandangkan azan Maghrib 1 Syawal lalu. Selepas itu, pengikut Mazhab Syafie akan mula berpuasa 6 manakala pengikut mazhab Maliki pula tidak melakukannya kerana Imam Malik r.a tidak bertemu dengan hadis tersebut.

Sepanjang hayatnya, Imam Malik r.a dikhabarkan tidak pernah keluar dari tanah haram Madinah dan hanya menimba ilmu daripada ulama di situ. Mungkin oleh sebab itu beliau tidak bertemu dengan hadis yang diperoleh oleh Imam Syafie r.a.

'ala kulli hal, masing-masing ada pendapat dan hujah dan siapalah kita hendak mempersoalkannya. Ikut aja sudah. Lainlah kalau mujtahid.

Khutbah hari raya tempoh hari benar-benar mengusik jiwaku. Mungkin sudah lama tidak kedengaran khutbah bersemangat seperti itu. Duduk lama. Pinggang tak sakit. kaki tak kebas-kebas (nasib baik karpet baharu dan tebal). Walaupun khutbah itu memakan masa selama sejam lebih (tiada aircond tapi nyaman).

Murabbi kami, Datuk Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Muhammadi sememangnya dikurniakan Allah ilmu seorang Daie. Ilmunya memang tidak dapat disanggah. Gaya bahasa yang digunakan hebat. Gerak badan, karisma, kepimpinan dan tutur katanya membuatkan sesiapa sahaja pasti terpukau untuk mendengar limpahan makrifat yang diturunkan Allah menerusi lidah beliau.

KEHADIRAN Sheikh Muhammad Fuad di dalam arena dakwah telah menggegarkan dunia Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di luar negara.

Sesiapa yang berguru dengannya, pasti ceramah agama lain sudah tidak enak untuk didengari. Ini hakikat yang perlu dipersetujui oleh sesiapa sahaja baik kawan atau lawan.



SHEIKH MUHAMMAD FUAD ketika menyampaikan khutbah Aidilfitri di Masjid Nerasau, Chengkau, Negeri Sembilan. Perhatikan mimbar yang diukir cantik oleh tukang Jawa sekitar hujung 1800.
Tanpa teks khutbah di tangan, beliau terus sahaja memuji Allah dengan pujian yang selayaknya. 

Intipati khutbah sudah tentunya kepincangan akidah umat Islam terutamanya di Malaysia pada hari ini menjadi pilihan beliau.

Allah menguji kita pada hari ini (merujuk kepada insiden MH370 dan MH17) kerana akidah kita yang tidak lagi menjadikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenarnya sebagai ikutan yang tulus dalam memeluk agama Allah.

Puas kita berdoa siang malam, imam Masjidil Haram berdoa betul-betul depan Kaabah namun, pertolongan Allah tidak juga kunjung tiba sepertimana diharapkan. 

Adakah kita tidak perasan situasi ini atau buat-buat tidak perasan? Jika dahulu, pejuang Islam, Salahuddin al-Ayubi boleh merampas semula Palentin yang berada dalam genggaman kufar selama beratus tahun namun kini pejuang seperti beliau langsung tidak kelihatan.

Nama Salahuddin cukup digeruni seolah-olah menjadi pelemah semangat dan perasaan gerun segera dicampakkan Allah ke dalam hati-hati orang kafir untuk berperang dengan angkatan tentera beliau.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat segelintir pihak yang lantang menghentam dan mengutuk Israel di Malaysia sebenarnya tidak berbuat demikian dengan hati yang ikhlas dan hanya mahukan glamor semata-mata.

Mulut cakap ganyang Israel tetapi dalam masa sama menyokong anti-hadis, menyokong penggunaan kalimah Allah di dalam bible dan mempertahankan gereja.

Ibarat najis membersihkan najis. Tahi hendak dibersihkan dengan air kencing. Begitulah perumpamaannya.

Tiada lagi kebaikan di dalam sesebuah negeri/a itu apabila Nabi mereka dihina dan dicaci. Lebih parah apabila tiada seorang pun yang bangun untuk membelanya dengan sesahih-sahih pembelaan. 

Tidak melibatkan glamor atau tertambat hatinya kepada kesenangan dunia ketika mendakwa mempertahankan Rasulullah SAW.

Ketika pemerintahannya, Salahuddin al-Ayubi mengarahkan semua negeri/a Islam mengumandangkan syair mengandungi akidah ASWJ sebelum azan dilaungkan. Keadaan ini berlanjutan hampir 300 tahun lamanya (kalau tak silap).

Akidah yang betul dan lurus merupakan penyebab doa kita diterima oleh Allah. 

Bagaimana kita mahu Allah mengkabulkan doa tetapi dalam masa sama kita menyekutukan Dia tanpa kita sedari dengan berpegang kepada akidah songsang yang diuar-uarkan oleh Wahabi, Syiah Rafidah dan yang seangkatan dengannya?

 Tak sah kalau air mata bagi orang-orang yang hidup hatinya pagi itu tak mengalir. Khutbah yang mengajak kita menyesali keterlanjuran perbuatan dengan melakukan maksiat dan dosa terhadap Allah membuatkan hati begitu sayu.

Memang benar kata ulama...bermula taubat itu dengan menyesal. Usai khutbah, masing-masing berebut-rebut hendak bersalaman dengan Sheikh. Aku tak terkecuali. Nikmat rasanya dapat memegang serta mengucup tangan ulama.

Hanya jauhari mengenal manikam. 

MENERIMA pengiktirafan daripada ulama Morocco mengenai tugasan dakwahnya.MB N9 pun menyaksikan pengiktirafan tersebut.


Mohon Allah matikan aku dan saudara dalam keimanan. 

Moga kita dikumpulkan di bawah satu bendera dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak. Amin

Maas salamah wa ilal liqa'